KENAPA DULU ORANG TAK SUKA ANAK BELAJAR MADRASAH, TAPI KINI RAMAI YANG NAK HANTAR ANAK KE MADRASAH?
Pagi ni saya keluar rumah pukul 7.45am. Masih terasa bayu dingin yang berbaki dari waktu subuh. Matahari pun baru mula nak tunjukkan diri. Rutin harian saya dan adik-adik akan tunggu kakak kemudian kami akan ke madrasah ramai-ramai sama-sama. Kalau ikut istilah orang barat mereka cakap carpool. Bagus tau carpool ni, jimat dan selamat. Macam biasa keluar rumah kaki kiri, baca doa pakai kasut dan doa keluar rumah. Moga Allah lindung.
Sampai di madrasah, siram pokok dulu. Pokok yang ditanam bersama anak murid tersayang. Kelihatan sebuah demi sebuah kereta datang hantar anak masing-masing depan pagar madrasah. Pelajar-pelajar pun turun kemudian melepasi pagar sambil tersenyum ucap salam dan buat isyarat sedikit tunduk pada saya. Mereka sangat mengutamakan adab. Sesudah itu terus mereka menyusun kasut di rak, ke dapur untuk menyusun bekal makanan barulah masuk ke kelas masing-masing untuk baca doa pagi, doa satu hati dan Asmaul Husna. Sambil siram pokok ditemani bayu segar, disulami dengan alunan doa dan Asmaul Husna yang bergema dari dalam madrasah…ahhh nyaman sungguh! Bukan saya saja yang dengar, semua jiran-jiran keliling madrasah pun turut dengar sama. Sambil-sambil mereka panaskan enjin nak ke tempat kerja.
Saya terfikir yang alunan didengari dari pelajar yang ramai. Berbeza dengan zaman ustaz-ustaz saya dulu, boleh kira dengan jari pelajar-pelajar yang ingin belajar di madrasah. Itu pun belajar madrasah yang di ceruk kampung atau negara luar. Dulu-dulu ramai ibu bapa yang menyangka belajar madrasah ni mundur, tak maju dan kolot. Yang paling selalu kita dengar ‘tak ada masa depan’.
Tapi semenjak dua menjak ni, ramai pula ibu bapa yang nak hantar anak belajar agama. Madrasah pun dah banyak sekarang ni. Ibarat cendawan yang tumbuh lepas hujan. Kebanyakkannya ditubuhkan pun atas permintaan ibu bapa. Seolah-olah istilah ‘tiada masa depan’ tu tak pernah wujud.
Fikir saya, apa yang ada di madrasah? Istimewa sangat ke? Rasanya macam tak ada apa pun.
Macam yang semua orang tahu, undang-undang madrasah ketat. Lepas tu pelajaran pun boleh kata susah. Hafal quran pagi sampai petang. Kalau tak lancar, rotan lah jawabnya. Menghafal Alquran mestilah dengan tajwid dan tartil. Perlu dijaga makhrajnya, hukum-hukum, mad panjang pendeknya. Penat juga tu sambil-sambil pelajar menghuyungkan badan ke depan ke belakang sebab khusyu’ menghafal.
Begitu juga yang belajar kitab turath. Banyak betul basic yang perlu dikuasai. Kalau tak lulus repeat kelas lagi setahun! Dan selalunya madrasah ni tak lah selesa sangat. Kadang-kadang bahang berpeluh, belajar pun duduk atas lantai sampai kebas kaki. Kain baju basuh guna tangan, makanan pun ala kadar. Awal pagi sebelum subuh dah ada kelas, memang tak ada lah peluang tidur lepas subuh. Ada pula madrasah yang isnin khamis kene puasa. Belum cerita adab dan akhlaq yang kene jaga masa di madrasah. Bak kata orang kita ‘bajet baik’ aduii..mujahadah betul.
Di madrasah, ustaz-ustaz akan ingatkan hari-hari yang benda-benda lalai ni kene tinggalkan, ilmu diamalkan, adab dilaksanakan, belajar kene sabar…sabar…sabar!! Buku-buku yang ada di madrasah tu semua mengisahkan sejarah islam, nabi-nabi, para sahabat dan alim ulama. Ustaz kata bila kita baca dan cakap mengenai orang soleh dan bertaqwa, semakin hari kita akan cenderung untuk jadi macam mereka. Betul la tu kan? Tak ada ke novel cinta ke, komik lawak kampus ke? Hmm.. memang tak ada lah. Kalau ada pun mesti kene rampas. Radio atau TV? Lagilah tak ada. Handphone usah ditanya! Yang ada Alquran lusuh yang bertampal, kitab-kitab pelajaran.
Masa belajar di madrasah, hari-hari ada hafalan. Boleh kata semua pelajaran kene hafal. Dalam bahasa arab pula tu. Ada pelajar yang kecik-kecik lagi dah masuk madrasah. Gigih betul menghafal. Bila naik kelas, kitab pun makin besar, makin berat. Usung lah kitab berat ke kelas-kelas. Automatik tanpa suis, masa kelas ustaz jadi garang. Nak masuk kelas tu rasa macam takut walaupun hari-hari dah mentelaah pelajaran baru dan dah hafal pelajaran semalam.
Di madrasah ada khidmat. Semua orang kene mengemas tiap-tiap hari. Tak ada ke tukang kebun atau mak cik cleaner? Semua kene buat sendiri. Daripada tak tahu buat kerja, eh tiba-tiba terpandai buat kerja la pulak!
Jadi apa yang sebenarnya ada di madrasah?
Ada didikan agama.
Ada suasana.
Ada amalan harian.
Undang -undang yang ketat tetapi efektif menjadikan seseorang itu alim dan hafiz yang mempunyai sifat daie, bertaqwa, beriman dan beramal soleh. Pelajar-pelajar akan mempunyai jati diri, menjaga maruah, dan cerdik. Mereka menghargai dan mensyukuri walaupun sekecil-kecil perkara. Kita tengok cara mereka dakap Al Quran lusuh pun kita tau dia sayang barang. Apatah lagi perkara lain. Tidak hairanlah bila mereka boleh lulus di dalam peperiksaan akedemik kerana telah biasa menghafal dan mengasah otak dengan kaedah yang rumit sejak kecil lagi ketika di madrasah.
Mereka juga ada sifat tegas dan sudah terbiasa tak buat perkara yang sia-sia.
Mereka soleh dan mereka muslih!
*muslih : baik dan mengajak orang lain ke arah kebaikan.
klik sini untuk baca artikel mengenai KEPENTINGAN MADRASAH.
Jadi sebelum hantar anak ke madrasah, jom kita semua renungkan dulu apa niat dan matlamat kita hantar anak ke madrasah?
Janganlah kerana anak-anak sudah rosak akhlaqnya, tak dapat dibendung barulah dihantar ke madrasah. Buat pening kepala ustaz, kawan-kawan dan rosak nama madrasah saja.
Atau anak-anak yang corot didalam peperiksaan akedemik, ditukarkan pula ke madrasah dengan alasan anak itu bengap.
Niat ibu bapa kene betul, daripada niat yang betul lah baru ada ruh untuk anak suka dan mampu belajar di madrasah seterusnya menjadikan mereka anak yang soleh. Itulah impian semua ibu bapa.
Ibu bapa perlu mengambil peranan untuk mendidik anak dengan ‘tegas tapi sayang’ dan mewujudkan suasana agama di dalam rumah. Anak-anak akan terbiasa, kemudian akan timbul rasa suka ke arah kebaikan.
Hasilnya, masyarakat rasa sejuk hati sejuk mata sejuk perut dengan lahirnya insan-insan yang mulia seperti anak-anak ini!
Alhamdulillah ia adalah satu perubahan yang bagus! Teruskan niat kalian untuk ke madrasah. Endahkan kata orang. Alah bisa tegal biasa. Buat perkara baik, natijahnya pun baik!
Terbukti sekarang ini, sudah ramai anak-anak lepasan madrasah yang berjaya di dalam hidup mereka. Pastinya kebanyakan mereka mengajar, tetapi tidak kurang juga yang mempunyai empayar perniagaan sendiri! Ada juga yang menyambung pelajaran akedemik, kemudian berkerjaya demi khidmat kepada bangsa dan negara!
Semoga Allah SWT membantu kita untuk taat kepada perintahNya dan mengamalkan sunnah baginda SAW.
Sila share dan suarakan pendapat anda di ruang komen di bawah!
Leave a reply
You must be logged in to post a comment.