Sayyidina ‘Irbaad bin Saariyah RA, seorang sahabat Rasulullah SAW berkata, saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku adalah hamba Allah SWT dan penutup segala nabi”
(Hadith riwayat Mustadrak Hakim)
Seperti yang kita semua maklum, Rasulullah SAW diutuskan kepada umat akhir zaman sebagai penutup kepada sekalian nabi dan rasul. Sudah banyak kali kita baca dan mendalami akan sejarah dan salasilah Baginda SAW. Betapa Baginda dibenci oleh orang kampungnya sendiri, di halau dari tanah airnya. Sehingga Baginda terpaksa berhijrah dengan hati yang sayu dan langkah yang berat. Begitu banyak korban Baginda hanya kerana risaukan diri kita. Dan juga untuk menyampaikan seruan islam pada umatnya!
(klik sini untuk baca artikel mengenai hijrah)
Tapi tahukah anda akan kelebihan kita sebagai umat Nabi SAW? Apakah pernah kita terfikir betapa bertuahnya kita kerana dikurniakan seorang rasul yang bernama Muhammad bin Abdullah? Berjayakah kita membuktikan cinta dan terima kasih kita kepada Baginda SAW?
Sempena Maulidur Rasul ini, kita perlu tahu dan sedar akan anugerah kenikmatan yang kita kecapi sebagai umat baginda. Yang mana menjadi umat Rasulullah adalah satu perkara yang dicemburui oleh para nabi dan rasul terdahulu.
1) Kelebihan Baginda diutuskan kepada kita?
وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ –
maksudnya : Dan tidaklah kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan hanyalah sebagai rahmat bagi seluruh alam.
(surah Al Anbiya’ : 107)
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ –
“Sungguh, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari Kiamat” (QS.Al-Ahzab:21)
– Sayyidina Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda :
إِنَّمَا بُعِثْتُ لأُتَمِّمَ مَكَارِمَ الأَخْلاقِ
maksudnya : Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq.
(Hadith riwayat Baihaqi)
2) Kelebihan yang Allah telah kurniakan khusus hanya untuk Baginda?
Diriwayatkan daripada Sayyidina Abu Hurairah RA, baginda SAW bersabda “Aku diberi kelebihan berbanding dengan para nabi yang lain dengan enam perkara.
1) Aku dikurniakan dengan kalimah yang jami’. (himpunan perkataan yang sedikit tetapi mengandungi makna yang banyak)
2) Aku dibantu dengan kegerunan. (Allah SWT meletakkan rasa takut dan gerun dalam hati musuh kepada baginda)
3) Harta rampasan menjadi halal bagiku. (Harta rampasan umat terdahulu tidak halal dan akan dibakar oleh api dari langit)
4) Seluruh bumi (debu) telah dijadikan suci untukku (boleh bertayammum) dan suci sebagai tempat menunaikan solah. (Umat dahulu hanya boleh beribadah di tempat yang khusus sahaja)
5) Aku diutus sebagai rasul kepada seluruh makhluq. (Rasul sebelum baginda diutus kepada kaum tertentu sahaja)
6) Ditamatkan salasilah kenabian dengan aku. Selepas aku tiada rasul atau nabi yang akan diutuskan.
(Hadith riwayat Muslim)
3) Kelebihan kita sebagai umat Baginda iaitu Khairul Ummah?
Allah SWT berfirman di dalam surah An Nahl ayat ke89 :
وَيَوْمَ نَبْعَثُ فِي كُلِّ أُمَّةٍ شَهِيداً عَلَيْهِم مِّنْ أَنفُسِهِمْ وَجِئْنَا بِكَ شَهِيداً عَلَى هَـؤُلاء
“Dan (ingatlah) pada hari (ketika) Kami bangkitkan pada setiap umat seorang saksi atas mereka dari kalangan mereka sendiri, dan Kami datangkan engkau (Muhammad) menjadi saksi atas mereka.”
(Surah An-Nahl:89)
Didalam surah Al Anfal pula :
وَمَا كَانَ اللّهُ لِيُعَذِّبَهُمْ وَأَنتَ فِيهِمْ وَمَا كَانَ اللّهُ مُعَذِّبَهُمْ وَهُمْ يَسْتَغْفِرُونَ
“Tetapi Allah tidak akan menghukum mereka, selama engkau (Muhammad) berada di antara mereka. Dan tidaklah (pula) Allah akan menghukum mereka, sedang mereka (masih) memohon ampunan.”
(Surah Al Anfal:23)
4) Kelebihan kita berselawat untuk Baginda?
Sayyidina Anas bin Malik RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda :
مَن صلَّى عليَّ صلاةً واحدةً، صَلى اللهُ عليه عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وحُطَّتْ عنه عَشْرُ خَطيئاتٍ، ورُفِعَتْ له عَشْرُ دَرَجَاتٍ
Barangsiapa yang berselawat untukku satu kali, Allah Taala akan berselawat untuknya sepuluh kali, dan dihapuskan baginya sepuluh kesalahan (dosa), dan akan ditinggikan baginya sepuluh darjat.
(Hadith riwayat Nasai)
Sayyidina Kaab bin Ujrah RA meriwayatkan beliau pernah bertanya kepada Rasulullah SAW akan selawat yang paling afdhal. Jawab Baginda SAW : ucapkanlah,
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
(Hadith riwayat Bukhari)
5) Kelebihan kita mengamalkan sunnah baginda?
Sunnah terbahagi kepada dua bahagian.
1) Sunan Ul Huda (sunnah hidayat atau sunnah petunjuk). Seperti contoh azan, berkumur-kumur ketika berwudhu’, solat berjemaah dan lain-lain)
Iaitu sunnah yang dituntut untuk mengamalkannya. Jika diamalkan maka seseorang itu berhak mendapat ganjaran dan jika seseorang meninggalkannya maka ia berhak dicela.
2) Sunan Uz Zawaid (sunnah tambahan) contohnya amal Nabi SAW dari segi berpakaian, duduk bangun, makan minum dan sebagainya. Orang yang meninggalkan sunnah ini tidak dicela, namun jika diamalkan kerana cinta dan untuk mengikut cara hidup Nabi SAW maka ia berhak mendapat pahala.
(dipetik dari kitab Ghayatul Wusuf)
(klik sini untuk baca artikel kelebihan amal sunnah)
6) Bagaimana caranya untuk datangkan rasa cinta kepada baginda?
- Amalkan sunnah dalam kehidupan seharian kita.
- Banyakkan berselawat kepada baginda.
- Kenali dan dalami sejarah baginda.
- Menghayati dan kenali kisah suka duka, susah payah, sahabat handai, sanak saudara dan keluarga baginda.
- Berkorban seperti korban baginda.
- Cintakan agama seperti baginda mencintai agama.
- Wujudkan tiga perkara dalam diri kita iaitu Surah, Sirah dan Sarirah.
– Surah : mengikuti gaya dan cara hidup seperti Rasulullah SAW.
– Sirah : menghayati akan kisah dan sejarah baginda SAW serta para sahabat RA.
– Sarirah : berfikir dan sentiasa risau seperti Rasulullah SAW terhadap umat akhir zaman yang jauh dan lari dari agama. Berusaha untuk menyebarkan ajaran islam ke seluruh dunia supaya seluruh umat akhir zaman mengenal dan beriman kepada Allah SWT.
لا إله إلا الله محمد رسول الله
Lahirmu dengan senyuman yang menyejukkan mata
Hatimu tulus dan ikhlas cinta untuk umatnya
Dia rindu pada saudaranya dan bila ditanya siapakah mereka
Mereka adalah umat akhir zaman, tidak pernah bersua
Tetapi percaya dan beriman dengannya, hanya kerana cinta
Gelarannya adalah Al Amin, yang jujur sentiasa
Namanya adalah Ahmad, Muhammad juga
Kerap menangisi untuk umat semesta
Wajiblah kita beriman dan menyayangi baginda
Satu-satunya jiwa yang akan mensyafaati kita
Amalkanlah sunnah dan selawat tanda cinta untuknya
Kerana sebutan ‘ummati’ telah bermain di bibirnya yang mulia
Walaupun di akhir hayat baginda
Share dan tinggalkan komen anda dibawah!
Add comment
You must be logged in to post a comment.