Sayyidina Abdullah bin Harith RA telah meriwayatkan dari seorang sahabat yang menceritakan bahawa dia pernah bertemu Nabi SAW sewaktu Baginda sedang bersahur. Ketika itu Baginda telah bersabda, “Bersahur adalah amalan yang diberkati oleh Allah SWT yang Dia telah kurniakan kepada kamu. Janganlah kamu meninggalkan sahur.”
Dalam sebuah hadith lagi, Rasulullah SAW telah bersabda, “Bersahurlah kerana dalam bersahur terdapat keberkatan.”
Hafiz Ibn Hajar RAH telah menulis dalam kitab Fath-ul-Baarii fii Syarh-il-Bukhari bahawa hasil kajian para ulama’ terdahulu, keberkatan bersahur itu berdasarkan beberapa aspek:
1. Sunnah Rasulullah
Bersahur adalah amalan sunnah yang tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda Rasulullah SAW. Sabda Rasulullah SAW, “Bersahurlah walau hanya dengan seteguk air.”
2. Kekuatan Jasmani
Bersahur memberi kekuatan untuk ibadat. Sekarang waktu rehat anda boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk solat sunat, bacaan al-Quran dan lain-lain amal lagi. Tetapi sekiranya masa-masa ini berlalu begitu sahaja disebabkan anda tidak bermaya, terlepaslah daripada anda peluang yang jarang sekali datang ini.
3. Kekuatan Rohani
Bersahur akan menambahkan tumpuan hati kepada ibadat. Ramadhanlah masanya untuk kita gunakan bagi memperbaiki amalan-amalan yang mungkin selama ini tidak pernah kita lakukan dengan sebaiknya. Kemungkinan anda boleh menambah lagi panjang rakaat dalam solah-solah sunat bagi usaha mendapatkan khusyuk dalam solah. Atau tumpuan dalam zikir harian supaya dapat lebih memerhatikan makna-makna sebutannya. Kerana sebenarnya ibadah yang dilakukan tanpa tumpuan sebenarnya bukan merupakan penghampiran, bahkan menjauhkan kita daripada Allah SWT.
4. Melawan Yahudi dan Kristian
Bersahur berlawanan dengan cara puasa ahlul kitab (Yahudi dan Kristian) kerana mereka tidak bersahur apabila ingin berpuasa. Dan kita semua telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk menentang amalan mereka sedaya mungkin.
5. Menjaga Peribadi
Bersahur dapat mengelakkan kita dari kebanyakan akhlak-akhlak buruk yang kebiasaannya timbul dari keadaan sangat lapar. Akibat tidak bersahur, sesetengah orang bermuram sepanjang hari, sehinggakan ada yang menengking-nengking disebabkan emosi yang tidak stabil ketika lapar. Malah sikap seperti ini boleh membawa kepada memutus tali silaturrahim sekiranya ada yang mengambil hati, sedangkan ibadah puasa ini bukanlah disyariatkan untuk itu.
6. Kemampuan Ekstra!
Dengan bersahur kita dapat memberi bantuan kepada mereka yang sedang memerlukan serta menolong jiran tetangga yang fakir miskin. Dengan kekuatan jasmani dan rohani yang terhasil daripada bersahur, dan hati yang tenang dari gangguan emosi dapatlah manfaat-manfaat yang diperolehi daripada puasa itu disalurkan pula kepada saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik dengan memberi bantuan kepada mereka dalam bentuk wang, barang makanan ataupun khidmat masyarakat.
7. Penerimaan Doa
Masa bersahur adalah masa yang khusus untuk doa diterima. Dengan bersahur kita akan lebih mudah mendapat taufiq untuk berdoa. Di dalam al-Quran disebutkan tentang sifat-sifat penghuni syurga, antaranya adalah “Dan ketika waktu sahur mereka meminta keampunan (istighfar) dari Tuhan mereka.”
8. Taufiq Beribadah
Ramadhan bukanlah hanya bulan untuk berlapar dan dahaga sahaja, tetapi seharusnya dihiasi dengan amal-amal sunat yang kita lakukan SAMBIL berpuasa. Apabila kita bangun bersahur, kita mudah mendapat taufiq untuk menghabiskan masa menunggu masuk waktu Subuh dengan berzikir, bertilawah, solah tahajjud dan berbagai amalan lagi yang mungkin sekali kita tidak berkesempatan untuk lakukan di luar bulan Ramadhan. Bayangkan, kalaulah hari anda dimulakan dengan begitu baik, tentu mudah sekali untuk anda jalani sepanjang hari dengan penuh ketaatan.
Apa yang telah kami sebutkan di atas semuanya sebagai galakan agar kita manfaatkan sebaiknya waktu sahur. Sekarang kita tahu sebenarnya sahur bukanlah semata-mata ‘bangun untuk makan’, tetapi begitu banyak sekali kebaikan yang dapat kita hasilkan daripada amalan sunnah yang begitu diambil berat oleh junjungan kita Rasulullah SAW sendiri.
Semoga Ramadhan kali ini menjadi Ramadhan yang paling baik buat kita semua. Kami di Aura Busana Muslimah mendoakan agar kita semua sentiasa berada dalam limpahan kurniaan dan kerahiman Allah SWT.
Amiin.
Leave a reply
You must be logged in to post a comment.