DAJJAL SEMAKIN HAMPIR!
Siapa yang tidak kenal dengan susuk tubuh yang digelar Ustaz Abdul Somad. Seorang pendakwah dari Sumatera Indonesia yang pakar di dalam ilmu hadith dan feqah, tiba di Malaysia semalam dan telah memberikan ceramah mengenai kedatangan Al Masih Dajjal yang semakin menghampiri kita semua.
Di sini, kami ingin kongsikan kepada anda semua sedikit sebanyak yang telah disampaikan oleh Al Fadhil Ustaz Abdul Somad.
1) MENGAPA ALLAH CIPTAKAN DAJJAL?
Allah SWT menciptakan dajjal adalah untuk menguji umat manusia.
2) APAKAH PERBEZAAN ANTARA AL MASIH ‘ISA DAN AL MASIH DAJJAL?
Di dalam bahasa arab:
– Al Inauz Zahabi : adalah bekas yang diperbuat daripada emas tulen.
– Al Inaul Mudajjal : adalah bekas yang disalut emas, sedangkan didalamnya adalah besi. (bekas palsu/tiruan)
Jadi, perkataan Al Masih Isa adalah untuk membezakan dengan nama Al Masih Dajjal.
Kenapa?
Nabi Isa AS telah dipilih Allah menjadi seorang rasul sehinggalah baginda diangkat dan akan diturunkan semula pada hari kiamat. Diantara mukjizat Nabi Isa ialah baginda boleh menyembuhkan sakit sopak, menyembuhkan orang buta, menghidupkan jiwa yang telah mati dengan izin Allah seperti mana yag telah disebutkan di dalam Al Quran:
(Ingatlah), ketika Allah mengatakan: “Hai Isa putera Maryam, ingatlah nikmat-Ku kepadamu dan kepada ibumu di waktu Aku menguatkan kamu dengan ruhul qudus. Kamu dapat berbicara dengan manusia di waktu masih dalam buaian dan sesudah dewasa; dan (ingatlah) di waktu Aku mengajar kamu menulis, hikmah, Taurat dan Injil, dan (ingatlah pula) diwaktu kamu membentuk dari tanah (suatu bentuk) yang berupa burung dengan izin-Ku, kemudian kamu meniup kepadanya, lalu bentuk itu menjadi burung (yang sebenarnya) dengan seizin-Ku. Dan (ingatlah) di waktu kamu menyembuhkan orang yang buta sejak dalam kandungan ibu dan orang yang berpenyakit sopak dengan seizin-Ku, dan (ingatlah) di waktu kamu mengeluarkan orang mati dari kubur (menjadi hidup) dengan seizin-Ku, dan (ingatlah) di waktu Aku menghalangi Bani Israil (dari keinginan mereka membunuh kamu) ketika kamu mengemukakan kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, lalu orang-orang kafir diantara mereka berkata: “Ini tidak lain melainkan sihir yang nyata”. (surah Al Maidah : ayat 110)
Sedangkan Al Masih Dajjal pula ialah seorang lelaki yang akan keluar ketika hampir kiamat lalu menarik orang ramai ke arah kekufuran. Dia boleh menurunkan hujan, menumbuhkan tanaman, menyembuhkan, menghidupkan yang telah mati. Orang yang tidak beriman akan tertipu. Mereka akan mengikut Dajjal kerana menyangka Dajjal adalah Nabi Isa. Sedangkan Dajjal adalah lelaki ‘palsu’ seperti perbezaan di antara Al Inauz Zahab dan Al Inau Mudajjal.
3) ADAKAH DAJJAL SUDAH ADA?
Terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Hadrat Fatimah binti Qais RA bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda mengenai seorang sahabat bernama Tamim Ad Dari yang pernah bertemu dengan dajjal di sebuah pulau.
Di sana dajjal dilihat dalam keadaan terbelenggu dengan besi. Dajjal telah bertanya kepada Hadrat Tamim Ad Dari mengenai tiga perkara. Setelah diceritakan, lalu dajjal telah memberitahu mengenai keadaan yang akan terjadi kepada tiga perkara itu :
1) Nakhlu Baisan (kurma di Baisan) – Kurma-kurma di ladang itu akan kering.
2) Buhairah Thobariah (danau Tiberiah) – air di danau itu akan mengering.
3) Ain Zaghar (air tawar berdekatan Laut Mati) – kolam itu akan tersumbat.
Demi Allah, ketiga-tiga keadaan ini sedang berlaku.
4) APAKAH CIRI-CIRI DAJJAL?
– Dajjal ialah seorang manusia lelaki. Dia berbadan besar dan tegap.
– Dajjal adalah seorang yang buta sebelah. Buta sebelah bukanlah buta matanya, tetapi dia hanyalah melihat ke arah perkara yang batil sahaja.
– Rasullah SAW bersabda, dajjal akan keluar dari arah timur. Ada riwayat mengatakan dari arah Khurasan atau Asfahan.
– Dajjal akan pergi ke serata dunia kecuali Mekah dan Madinah.
5) BAGAIMANAKAH CARA UNTUK SELAMAT DARI FITNAH DAJJAL.
Beramal, beramal, beramal dan beramal dengan zikir.
– Doalah dan berzikirlah sebanyak-banyaknya selagi tidak bercanggah dengan Al Quran dan sunnah.
– Amalkan membaca surah Al Kahfi ayat 1-110 pada setiap hari jumaat.
– Bacalah 10 ayat awal dan terakhir dari surah Al Kahfi pada setiap hari.
– Amalkan doa ini sebelum memberi salam, setiap kali solat:
اَللَّهُـمَّ إِنيِّ أَعوُذُ بِكَ مِنْ عَذاَبِ جَهَنَّمَ،وَمِنْ عَذاَبِ الْقَبْرِ وَمِنْ فِتْـنَةِ الْمَحْياَ وَالْمَماَتِ وَمِنْ فِتْـنَةِ الْمَسيِحِ الدَّجاَّلِ
“Ya Allah sesungguhnya aku berlindung denganMu daripada azab neraka jahannam, dan daripada azab kubur, dan daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah dajjal.”
6) TAWAKKAL.
Apabila telah berusaha dengan beramal, menjadikan ia sebagai benteng kita daripada fitnah dajjal, maka bertawakkallah kepada Allah SWT.
فَاِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى اللّٰهِؕ اِنَّ اللّٰهَ يُحِبُّ الۡمُتَوَكِّلِيۡنَ
Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertwakkal kepada-Nya.
(surah Al Imran:159)
Leave a reply
You must be logged in to post a comment.