Sering kelesuan di bulan Ramadhan akibat tidak bersahur? Tidak bersemangat untuk bangun kerana tidak biasa menjamah hidangan ketika itu?
Tahukah anda,sebenarnya dengan tidak bersahur anda ketinggalan banyak sekali kebaikan yang sepatutnya milik anda?
(عَنْ اِبْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُوْلُ اللَهِ صَلَّى عَلَيْهِ وَسَلَّمْ, إِنَّ اللهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى الْمُتَسَحِّرِيْنَ. (رواه الطبراني)
Sayyidina ‘Abdullah bin ‘Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT dan para malaikat-Nya menurunkan rahmat ke atas orang-orang yang bersahur.” (Hadith Riwayat at-Tabarani)
Begitu besar nikmat dan ihsan Allah SWT ke atas umat Islam dalam bulan Ramadhan, sehingga Dia telah menjadikan makan sebelum menjalani ibadah puasa yang dinamakan ‘Sahur’ itu pun satu amalan yang akan mendatangkan pahala. Dengan bersahur sahaja kita umat Islam sudah mendapat ganjaran.
Hadith-hadith banyak sekali menyebutkan kelebihan dan ganjaran bersahur.
‘Allamah Aini RAH telah menukilkan bahawa para ulama’ telah sepakat secara IJMA’ bahawa Sahur adalah sunnah. Akan tetapi ramai sekali di kalangan kita yang terlepas dari kelebihan ini kerana malas.
Sebagaimana di dalam kamus al-Munawwir, Sahur dari segi bahasa adalah ‘makan ketika hampir waktu Subuh’. Masa untuk bersahur adalah pada bahagian 1/6 terakhir daripada malam. Yakni jika anda bahagikan keseluruhan waktu malam kepada 6 bahagian, waktu Sahur adalah bahagian yang terakhir. Contohnya: jika tempoh sejak terbenam matahari (waktu Maghrib) sehingga naik fajar sadiq (waktu Subuh) adalah 12 jam, maka 2 jam yang terakhir adalah masa untuk bersahur. Melewatkan bersahur adalah lebih afdhal, dengan syarat tidak terlalu lewat sehingga berlaku syak terhadap puasa itu sendiri.
Kelebihan bersahur telah dinyatakan dalam banyak hadith Nabi SAW. Di antaranya Baginda SAW telah bersabda :
“Perbezaan antara puasa kita dan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah kita bersahur, dan mereka tidak bersahur.”
“Bersahurlah kerana dalam bersahur terdapat keberkatan.”
“Terdapat keberkatan dalam tiga perkara, 1) berjemaah, 2) thareed dan 3) bersahur.” Maksud berjemaah dalam hadith ini adalah umum. Solah secara berjemaah, atau apa-apa sahaja amalan Islam yang dilakukan secara berjemaah akan disertai bantuan dan rahmat Allah SWT. Thareed pula ialah sejenis makanan Arab, ia dibuat daripada roti-roti yang dicarik kemudian dituangkan kuah dan daging ke atasnya dan mempunyai rasa yang sangat lazat. Thareed juga sangat baik untuk penghadaman. Ketiga ialah bersahur.
“Bersahurlah untuk mendapat kekuatan berpuasa dan tidurlah pada waktu tengah hari (qailuulah) untuk membantumu bangun pada akhir malam.”
Begitulah beberapa pengisian mengenai fadhilat Sahur yang kami dapat sertakan di sini. Kami di Aura Busana Muslimah mendoakan semoga dengan bertambah ilmu, bertambah juga amalan kita dalam mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya.
Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak.
Add comment
You must be logged in to post a comment.