Sebaik sahaja roh kita ditiupkan ke dalam rahim ibu tercinta, Allah Taala telah memerintahkan para malaikat untuk menuliskan bagi hambaNya itu akan 4 perkara seperti yang telah disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith sahih yang mafhumnya :
Diriwayatkan dari Abu Abdur Rahman Abdullah bin Mas’ud RA katanya Rasulullah SAW yang sangat jujur benar lagi dibenarkan telah memberitahu kami: “Sesungguhnya dihimpunkan penciptaan satiap kamu dalam rahim ibunya selama 40 hari kemudian bertukar menjadi segumpal darah selama itu juga kemudian menjadi seketul daging selama itu juga kemudian diutus seorang malaikat lalu malaikat itu pun meniup padanya ruh lalu diperintahkan agar ditulis 4 perkara : rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya celaka atau bahagia.”
(hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
Kebanyakan orang meletakkan kefahaman mereka yang rezeki itu adalah harta, wang atau kekayaan semata-mata. Kerana istilah orang kita ‘rezeki melimpah ruah’ lebih ditujukan kepada harta dan wang ringgit yang bertimbun. Tetapi ramai yang tidak menyedari sebenarnya kesihatan, keluarga, kekenyangan, kebahagian, kesempurnaan, pekerjaan, akhlaq yang baik juga adalah rezeki atau dengan nama lainnya adalah nikmat.
Jadi dengan adanya nikmat, sudah menjadi kewajipan kita sebagai hamba untuk bersyukur dan berusaha meminta hanya kepada Allah melalui amalan yang memudahkan lorong rezeki.
Banyak amalan untuk seseorang itu murah rezeki seperti solat di awal waktu, bersedekah dan memuliakan saudara mereka. Ada lagi satu amalan yang lebih mudah untuk diamalkan oleh semua orang iaitu membaca surah Al Waqiah.
Sayyidina Abdullah bin Mas’ud RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang membaca surah Al Waqiah pada setiap malam, kebuluran tidak akan menimpanya selama-lamanya.” Rasulullah SAW bersabda
Sayyidina Abdullah RA selalu menyuruh anak-anak perempuannya membaca surah ini pada setiap malam.
(Hadith riwayat Baihaqi)
Diberitakan bahawa Sayyiditina Aisyah RA juga telah menekankan kepentingan membaca surah ini.
Walaubagaimanapun, adalah keadaan yang sangat rendah jika seseorang itu membaca dengan niat untuk mendapat beberapa keping wang. Sebaliknya, bacalah dan amalkanlah ia untuk memenuhi kekayaan hati (kepuasan rohani) dan untuk maksud ukhrawi. Maka dengan sendirinya keuntungan-keuntungan duniawi akan datang kepada kita. InsyaAllah.
Anda nak tahu kelebihan surah Al Mulk dan As Sajdah? klik sini : Kelebihan surah Al Mulk dan As Sajdah
Komen pandangan anda dibawah dan share artikel ini untuk manfaat bersama!
Add comment
You must be logged in to post a comment.