Lazimnya manusia akan diuji dengan bermacam-macam ujian dan cubaan. Bermacam–macam cara juga ujian itu diselesaikan bergantung kepada cara masing-masing. Dan kebiasaannya apabila kita diuji dan bersedih hati maka kita mahukan seseorang supaya dia mendengar luahan kita. Kemudian kita mengharapkan pula agar dia cuba untuk membantu menyelesaikan masalah kita. Kerana kita semua terbiasa dengan mengikut adat dan kebiasaan mereka yang mengutamakan makhluq dari Al-Khaliq.
“I need shoulder to cry on” “you can cry on my shoulder” adalah ayat lazim yang kita biasa dengar kan?
tidak salah untuk mengadu dan meminta nasihat daripada manusia, tetapi pastikan kita mendahulukan Allah sebelum kita pergi kepada makhluq.
Allah SWT berfirman dalam surah Al-Hajj ayat ke 76 :
يَعْلَمُ مَا بَيْنَ اَيْدِيْهِمْ وَمَا خَلْفَهُمْ وَإِلَى اللهِ تُرْجَعُ الأُمُورُ
“Dia (Allah) mengetahui apa yang ada dihadapan mereka dan apa yang dibelakang mereka. Dan hanya kepada Allah dikembalikan segala urusan.” (Al-Hajj:76)
Dan pada ayat ke 78 :
وَاعْتَصِمُوا بِاللهِ هُوَ مَوْلَىٰكُمْ فَنِعْمَ المَوْلَىٰ وَنِعْمَ النَّصِيْرُ
“Dan berpegang teguhlah kepada Allah, Dialah pelindungmu. Dia sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong.” (Al-Hajj:78)
Jadi, biasakanlah diri kita bertemu dan mengadu pada Allah. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui. Maha Melihat dan Maha Penyayang.
Macam mana nak doa?
Sebenarnya Allah suka bila ada hamba yang datang dan mengadu kepadanya.
Sungguh-sungguh kita perlu minta pada Allah, ceritakan semua masalah kita pada Allah, luahkan segalam terpendam dan memohon pada Allah apa yang kita mahukan kerana Allah Maha Mendengar. Ujian itu dari Allah, maka penyelesaiannya juga adalah daripada Allah. Minta pada Allah supaya dimudahkan urusan.
Apabila kita mengadu kepada Allah, Allah akan berikan kita kepuasan yang tidak kita dapati sekiranya kita mengadu kepada manusia.
Bila kita mengadu pada Allah, kita akan rasa tenang, mudah dan ada cara penyelesaian dan jalan keluar yang baik-baik bagi ujian kita.
Setelah kita berdoa dan meminta kepada Allah, maka langkah seterusnya adalah usaha kemudian tawakkal. insyaAllah Allah akan mudahkan urusan kita.\
Jangan malas untuk berdoa. Mintalah pada Raja kepada sekalian raja.
Jagalah adab-adab dan rendahkan diri ketika berdoa.
Bagaimana caranya agar doa kita diterima?
Pati atau kepala segala ibadah yang telah dikurniakan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah Doa. Seperti yang telah disabdakan oleh Nabi SAW doa adalah ibadah.
Solat yang kita telah tunaikan 5 kali sehari adalah doa.
Fatihah yang kita baca dalam setiap rakaat solat adalah doa.
Hidup kita ini dipenuhi dengan bermacam-macam jenis Azkar (mengingati Allah) seperti mana yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW iaitu dalam bentuk doa.
Dan Allah SWT suka apabila hambaNya memohon dan meminta daripada Allah seperti mana firman Allah SWT dalam surah Ghafir ayat ke 60 :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
maksudya : Dan Tuhanmu berfirman: “Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu. Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah-Ku akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina”.
Jadi, sebagai seorang hamba yang mahu memohon kepada Sang Pencipta, perlulah kita menjaga beberapa perkara:
1) Hendaklah hamba tersebut yakin dan beriman kepada Allah yang Esa seperti yang telah diajarkan oleh Baginda SAW dan tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu.
2) Memuji dan membesarkan Allah seperti mana layaknya Allah SWT dibesarkan dan diagungkan.
kemudian membaca selawat ke atas junjungan kita Nabi SAW dan para sahabat dan keluarga baginda.
3) Ketika berdoa, hendaklah kita merendah diri, bersungguh-sungguh, memohon dan meminta daripada Allah SWT dengan menyebut nama-nama Allah yang cantik dan agung seperti firman Allah SWT didalam surah Al A’raf ayat ke 180:
وَلِلّهِ الأَسْمَاء الْحُسْنَى فَادْعُوهُ بِهَا وَذَرُواْ الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَآئِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُواْ يَعْمَلُونَ
Hanya milik Allah asmaul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaaulhusna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.
Hanya milik Allah lah nama-nama yang cantik dan baik. Mohonlah kepada Allah. Marilah kita berdoa dan meminta dari Allah dengan cara yang telah diajarkan oleh Al-Quran dan seperti yang telah ditunjukkan oleh Khatimul Anbia’, Muhammad Al-Amin SAW.
Add comment
You must be logged in to post a comment.