RAHSIA YANG TERSIMPAN DI DALAM BULAN RAMADHAN
Ramadhan ialah bulan yang paling mulia di antara bulan-bulan islam. Satu-satunya bulan yang diwajibkan untuk semua orang islam lelaki mahupun perempuan, tua atau muda untuk berpuasa selama sebulan!
Ramai kan di kalangan kita yang hanya berpuasa tanpa berkenalan dengan nikmat-nikmat khusus bulan Ramadhan yang sanagat banyak! Tak seronok kalau kita hanya buat sebab ikut-ikut. Lebih seronok jika kita tau apa ‘upah’ yang kita akan peroleh bila buat sekian-sekian perkara.
- Ramadhan ialah bulan rahmat,keampunan dan kelepasan dari api neraka.
- Sesiapa yang membuat amalan sunat pada bulan Ramadhan, dia akan mendapat ganjaran seumpama melakukan amalan fardhu.
- Sesiapa yang membuat amalan fardhu pada bulan Ramadhan, Allah SWT akan memberikan padanya pahala seumpama seorang yang menunaikan 70x amalan fardhu pada bulan-bulan yang lain.
- Allah akan menambahkan rezeki untuk orang-orang yang beriman.
- Sesiapa yang memberi sesuatu kepada orang berpuasa untuk berbuka, pemberiannya itu ialah pengampunan untuk dosanya dan kelepasan daripada api neraka. dia juga akan mendapat pahala puasa orang tersebut tanpa mengurangkan sedikit pun pahalanya.
- Siapa yang memberi minum kepada orang berpuasa, Allah SWT akan memberinya minum daripada telaga Rasulullah SAW. Hanya dengan sekali minum dia tidak akan dahaga lagi sehingga masuk kedalam syurga.
- Mendapat keredhaan Allah dengan menyebut Lailahaillallah dan beristighfar.
- Bau busuk mulut orang yang berpuasa lebih disukai oleh Allah daripada bau kasturi.
- Ikan-ikan di laut akan beristihgfar untuk orang yang berpuasa sehingga mereka berbuka.
- Syurga dihias setiap hari untuk orang yang berpuasa.
- Syaitan akan dirantai sehingga akhir Ramadhan.
- Semua orang yang berpuasa akan di ampunkan di akhir bulan Ramadhan.
- Firman Allah SWT di dalam hadith qudsi “Ganjaran bagi setiap amal kebaikan diberikan oleh para malaikat, tetapi untuk puasa Aku sendiri yang akan berikan kerana puasa khusus untukKu.
- Allah SWT akan membangga-banggakan orang yang berpuasa di hadapan para malaikat.
- Rasulullah SAW bersabda “Allah SWT mempunyai hamba-hamba yang dibebaskan daripada api neraka pada setiap siang dan malam (bulan Ramadhan), dan bagi setiap orang islam ada doa yang dimakbulkan pada setiap siang dan malam (bulan Ramadhan).
- Sabda Rasullulah SAW “Allah SWT dan para malaikatnya menurunkan rahmat keatas orang yang bersahur”.
- Sabda Rasulullah SAW “Puasa adalah perisai bagi seseorang selagi dia tidak memecahkannya (membatalkannya)”. Yakni puasa menjaga seseorang dari musuhnya iaitu syaitan.
- Terdapat malam Lailatul Qadar di dalam Ramadhan.
- Lailatul Qadar lebih baik dari 1000 bulan. Rasulullah SAW bersabda “….sesiapa yang terlepas lailatul qadar dia telah terlepas dari segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya melainkan dia benar-benar rugi”.
- Siapa yang bangun pada malam Lailtul Qadar, Allah akan menukarkan semua keburukan kepada kebaikan dan mereka akan diampuni.
- Nikmat I’tikaf di bulan Ramadhan.
- Rasulullah SAW telah mengajarkan satu doa yang perlu diperbanyakkan membacanya iaitu
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Ya Allah sesungguhnya engkaulah Maha Pengampun dan Engkau sukakan pengampunan maka ampunilah aku.
- Malam Jaizah (Lalilatul Jaizah)
Lailatul Jaizah (Malam Hadiah)
Semua maklum akan Lailatul Qadar, dan ramai yang berjaga malam demi mencari malam tersebut.
Bagaimana pula dgn Lailatul Jaizah?
Apa itu Lailatul Jaizah?
di sini saya mahu share kan petikan hadith mengenai Lailatul Jaizah.
Sayyidina Abdullah bin Abbas RA berkata bahawa beliau telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“sesungguhnya syurga diharumkan dan dihiasi dari tahun ke tahun untuk menyambut kedatangan Ramadhan. Apabila tiba malam pertama dari bulan Ramadhan, sejenis angin akan bertiup dari bawah Arasy yang dinamakan ‘Musirah’. Lalu bergesaranlah daun-daun pokok syurga dan gagang-gagang pintu syurga, maka kedengaranlah satu bunyian yang begitu merdu yang tidak pernah didengari bunyian yang lebih merdu daripada itu sebelumnya.
Kemudian muncullah bidadari-bidadari yang bermata hitam jeli sehingga mereka berhenti di anjung syurga. Mereka menyeru : “Apakah ada sesiapa yang ingin meminang kami supaya Allah SWT mengahwinkannya dengan kami?”
Kemudian mereka berkata lagi :
“Wahai Ridhwan penjaga syurga, apakah malam ini?”
Sayyidina Ridhwan AS akan menjawab kepada mereka dengan berkata :
” Ya, Malam ini adalah malam pertama dari bulan Ramadhan, (Hari ini) pintu-pintu akan dibuka bagi mereka yang sedang berpuasa daripada kalangan umat Muhammad SAW.”
Nabi SAW bersabda lagi :
“Allah SWT akan berfirman : Wahai Ridhwan, buka pintu-pintu syurga dan wahai Malik (penjaga neraka), tutuplah pintu-pintu neraka bagi mereka yang berpuasa dari kalangan umat Ahmad SAW, wahai Jibrail! turunlah ke bumi dan tangkaplah syaitan yang sangat – sangat degil lalu rantaikanlah mereka dan campakkanlah mereka ke dalam laut supaya mereka tidak dapat merosakkan puasa umat Muhammad SAW, kekasihKu.
Baginda SAW bersabda lagi : “Allah SWT akan memerintahkan pada setiap malam Ramadhan supaya menyeru 3 kali.
“Adakah sesiapa yang ingin memohon sesuatu supaya Aku mengurniakannya?
Adakah sesiapa yang ingin bertaubat supaya aku menerima taubatnya?
Siapakah yang sanggup memberi hutang kepada tuhan yang Maha Kaya yang tidak pernah miskin, yang akan membayar hutangnya tanpa sedikit pengurangan?
pada waktu berbuka puasa setiap hari dari bulan ramadhan, Allah SWT akan membebaskan sejuta orang daripada neraka yang kesemua mereka telah ditentukan akan masuk ke neraka. Apabila tiba hari terakhir dari bulan Ramadhan, Allah SWT akan membebaskan pada hari itu sebanyak bilangan orang yang telah dibebaskan dari awal hingga akhir bulan.
Apabila tiba Lailatul Qadar, Allah SWT akan memerintahkan Jibrail AS supaya turun bersama satu kumpulan besar para malaikat. bersama mereka terdapat bendera hijau. Jibrail AS akan memacakkan bendera itu di atas Kaabah. Jibrail AS mempunyai seratus sayap. dua dariada sayap-sayap itu tidak pernah dibuka kecuali pada malam itu sahaja. Lalu Jibrail AS membuka kedua-dua sayapnya sehingga menutup dari timur hingga ke barat. Kemudian pada malam tersebut, Jibrail AS akan mendorong para-para malaikat supaya memberi salam kepada setiap orang yang sedang berdiri atau duduk (beribadat), yang bersolah dan yang berzikir. Maka para malaikat akan berjabat tangan dengan mereka dan akan mengaminkan doa-doa mereka hingga terbit fajar.
Apabila terbit fajar, Jibrail AS akan menyeru : “Wahai sekalian malaikat, sekarang pulanglah” Para Malaikat pun akan bertanya “Wahai Jibrail, apakah yang Allah taala telah lakukan terhadap keperluan-keperluan orang yang beriman dari kalangan umat Ahmad SAW?
Jibrail AS menjawab : “Allah SWT telah memerhatikan mereka pada malam ini dan telah mengampunkan mereka kecuali empat jenis manusia.
Maka kami (para sahabat) pun bertanya : “siapakah mereka wahai Rasulullah? baginda SAW bersabda : “lelaki yang berterusan meminum arak, seorang yang menderhakai kedua ibu bapanya, seseorang yang memutuskan silaturrahim, dan Musyahin.
Kami bertanya : “siapakah musyahin itu?” Baginda Rasulullah SAW bersabda : “Dia ialah ‘Musorim’ (orang berhasad dengki dan memutuskan hubungan)
Apabila tiba malam hari raya Eidulfitri maka malam itu disebut (di langit) sebagai Lailatul Jaizah (malam pengurniaan hadiah).
Pagi hari raya itu, Allah SWT menghantar para malaikat ke setiap tempat. lalu mereka turun ke bumi dan berdiri di muka-muka jalan dan lorong. mereka akan menyeru dengan suara yang boleh didengari oleh semua makhluq Allah SWT selain jin dan manusia. Mereka berkata “Wahai umat Muhammad, keluarlah kepada tuhan yang Maha Pemurah, yang mengurniakan dengan banyaknya dan mengampunkan dosa-dosa besar.
Apabila orang ramai tiba di tempat solat raya, Allah SWT akan bertanya kpd para malaikat, “Apakah balasan bagi seorang pekerja yang telah menyempurnakan kerjanya?”
Para malaikat akan berkata : “Wahai tuhan dan pemillik kami, balasannya hendaklah diberikan dengan upahnya yang sempurna.”
Lantaran itu Allah SWT berfirman : “Sesungguhnya aku menjadikan kamu sebagai saksi, Wahai malaikatku, sesungguhnya aku menjadikan keredhaanKu dan pengampunanKu sebagai balasan puasa Ramadhan dan ibadat malam mereka. wahai hambaKu, pohonlah daripadaKu, demi kemuliaan dan keagunganKu, tidaklah kamu memohon sesuatu daripadaKu pada hari ini iaitu dalam perhimpunan kami ini untuk kepentingan akhirat melainkan Aku pasti akan menunaikannya.
Dan begitu juga dengan kepentingan dunia, nescaya Aku akan perhatikan untuk kebaikan kamu.
Demi kemuliaanKu, aku akan menutup keaiban-keaibanmu selama mana kamu mentaati Ku.
Demi kemuliaan dan keagunganKu, tidaklah Aku akan menghinakan kami dan dan tidaklah Aku akan memalukan kamu dalam kalangan orang-orang yang berdosa (orang-orang kafir).
Bersurailah dalam keadaan kamu telah diampunkan. sesungguhnya kamu telah meredhakan Aku dan Aku juga telah redha dengan kamu.
Maka para malaikat pun bergembira dan bersuka ria dengan segala yang telah Allah SWT kurniakan kepada umat ini setelah mereka selesai berpuasa pada bulan Ramadhan”
(Hadith riwayat Ibn Hibban dan Baihaqi)
Allahumma ij’alna minhum
Ya Allah jadikanlah kami dari kalangan mereka.
Oleh itu perlulah kita bersungguh-sungguh menghargai malam tersebut. ia adalah malam yang khusus untuk disibukkan dgn ibadat. nabi SAW bersabda :”sesiapa yang berjaga pada kedua-dua malam hari raya, yakni sibuk beribadat dengan niat untuk mendapatkan ganjaran, maka hatinya akan hidup pada hari hati-hati yang lain akan mati. (yakni apabila hati-hati orang ramai akan mati pada masa fitnah dan kerosakkan. atau juga mungkin dimaksudkan pada hari sangkakala ditiupkan maka hatinya akan tetap sedar.)
Dalam satu hadith yg lain ada dinyatakan bahawa sesiapa yang berjaga pada lima malam untuk beribadat, maka syurga akan diwajibkan untuknya.
1. Malam Tarwiyyah – malam kelapan zulhijjah
2. Malam ‘Arafah – malam kesembilan zulhijjah
3. Malam Nahar – malam kesepuluh zulhijjah
4. Malam Eidulfitri
5. Malam kelima belas Syaaban
Ditulis dalam kitab Kasyf Ul-Ghummah dengan rujukan dari imam Syafie bahawa terdapat lima malam yang doa akan dikabulkan.
1. Malam Jumaat
2 & 3. Dua malam Hari Raya
4. Malam permulaan bulan Rejab
5. Malam kelima belas Syaaban
Apa tindakan kita setelah mempelajari dan mengetahui rahsia-rahsia Ramadhan di atas?
Marilah sama-sama kita panjatkan doa ke Hadrat Ilahi supaya memimpin kita untuk sentiasa berada di jalan yang diredhai nya. Rebutlah peluang untuk mendapatkan kelebihan yang tersimpan di dalam Ramadhan.
Semoga pada Ramadhan kali ini kita diberi peluang dan taufiq untuk meningkatkan amal ibadat, direzekikan Lailatul Qadar dan di ‘jaiz’kan dengan Lailatul Jaizah. Amin.
والله اعلم وعلمه أتم
Oleh : Raudhah Roslani
Add comment
You must be logged in to post a comment.