7 PERKARA YANG BOLEH MEROSAKKAN SOLAT
Nabi SAW bersabda :
الصلاة عماد الدين, فمن اقامها فقد اقام الدين ومن هدمها فقد هدم الدين
Solat adalah tiang agama (Islam), barangsiapa yang mendirikan solat, maka dia telah mendirikan agama. Dan sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya dia telah merobohkan agama.
(Hadith riwayat Bukhari)
Selepas peristiwa Isra’ dan Mikraj, maka bermulalah perintah solat yang wajib ditunaikan oleh semua umat Islam. Asal perintah solat adalah 50 waktu sehari hinggalah dikurangkan oleh Allah Ar Rahman sehingga menjadi 5 waktu sahaja. MasyaAllah..
Tetapi! Yang 5 waktu ni pun masih ramai yang tidak bersungguh. Baik dari anak muda hinggalah yang tua, kita perlu semak semula bagaimana kualiti solat kita sejak kali pertama solat hinggalah sekarang. Supaya kita tidak menyesal di kemudian hari kerana solah adalah perkara pertama yang akan disoal di alam kubur.
Rugi kan kalau kita solat lama-lama pun, 60 – 70 tahun, tapi satu pun Allah tak terima sebab solat kita rosak! Sebab tu pentingnya kita berhati-hati dan mengambil berat bila masuk hal berkenaan solat.
Mari sama-sama kita perhatikan semula, 7 perkara yang boleh merosakkan solat yang ramai tak tahu!
1) Melengahkan solat.
Orang yang selalu melengahkan solat akan kehilangan keberkatan waktu. Mereka akan menunaikan solat dalam keadaan tergopoh-gapah. Bila solat ditunaikan dalam keadaan tidak tenang, maka hati tidak tenteram dan akan terlepas pandang kewajipan atau perkara yang boleh membatalkan dalam solat. Mereka juga akan merasa sibuk, tidak cukup masa dan sentiasa terkejar-kejar dalam urusan harian.
2) Rukun tidak sempurna.
Rukun solat terbahagi kepada tiga. Iaitu rukun qalbi,qauli dan fi’li. Ramai yang tidak menyempurnakan rukun-rukun ini dengan baik kerana kekurangan ilmu. Bila rukun tidak sempurna, maka perkara tersebut boleh merosakkan solat! Jadi adakah solat kita akan diterima? Tepuk dada, tanya iman.
3) Tidak mempunyai ilmu yang cukup mengenai solah.
Pentingnya menuntut ilmu supaya solah kita boleh diperbaiki dari hari ke hari yang lain. Untuk tahu rukun-rukun solat, sunat-sunatnya malah kelebihan dan sejarah solat! Bila ada ilmu pengetahuan, maka kita akan rasa lebih bersemangat untuk beribadah.
4) Tidak khusyu’.
Apa makna khusyu’? Khusyu’ ialah tunduk atau menyerah. Jadi semasa solat, usaha sedaya mungkin untuk khusyu’ atau ‘menyerah’ seluruh jiwa dan diri kerana kita sedang berhadapan dengan Allah!
Tapi disebabkan kelemahan diri kita, dalam solatlah kita mula teringat itu ini, terpandang itu ini. Hinggakan boleh lupa rakaat atau rukun yang perlu ditunaikan!
Bagaimana untuk mendapatkan khusyu’ dalam solat?
Solat awal waktu, dan anggaplah itu solat kita yang terakhir. InsyaAllah kita akan cuba untuk buat yang terbaik.
5) Tidak menjaga perkara yang boleh membatalkan solat.
Batal solat bukan sahaja dengan buang angin ya. Tidak sempurna wudhu, nampak aurat, pakaian yang menampakkan warna kulit, pergerakan yang melebihi had, makan, minum, tidur juga adalah antara perkara yang membatalkan solat tau!
Untuk zaman sekarang, wanita yang memakai alat mekap perlu lebih berhati-hati ketika berwudhu. Atau mereka yang mewarna rambut, yang memakai pewarna atau pengilat kuku. Ramai yang tidak mencuci bersih, lalu terhalanglah air wudhu dari terkena anggota wudhu. Kemudian solat dengan wudhu yang tidak sempurna. Jadi bagaimana solat akan sah?
6) Solat sambil lewa.
Nabi SAW bersabda yang mafhumnya :
“Sesungguhnya perkara pertama yang akan dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat ialah solah. Jika elok solahnya, maka eloklah keseluruhan amalannya. Jika rosak solahnya, maka rosaklah keseluruhan amalannya.”
(hadith riwayat Tirmizi)
Semoga kita semua tergolong di kalangan orang yang baik dan elok solahnya. Amin..
7) Riyak.
Riyak atau menunjuk-menunjuk amalan solah akan merugikan diri sendiri dan merosakkan solat. Solat tersebut tidak akan diterima kerana ia ditunaikan demi makhluq. Riyak dalam apa-apa sahaja amalan pun akan membinasakan pahala, malah mendatangkan dosa. Dengan riyak, seseorang itu akan mendapat pujian daripada makhluq, tetapi dia juga akan mendapat kemurkaan Allah.
Semoga Allah lindungi kita semua daripada sifat riyak. Amin..
Baca artikel berkenaan SUNNAH di –> sini!
Jemput tuliskan komen anda dibawah!
Add comment
You must be logged in to post a comment.