Sedari kecil, ramai ibu bapa yang mengajar atau mendidik anak-anak dengan cara hidup masing-masing. Ada yang diajar berpaksikan pada adat turun temurun, ada yang meniti gaya hidup bangsa asing, tidak kurang juga yang menekankan gaya hidup moden! Apa pun gaya kehidupan kita tidaklah salah jika kita sulamkan dan lapiskan ia dengan sunnah.
Selalu dengar perkataan sunnah, tapi apa maksud sunnah tu sebenarnya?
Sunnah adalah cara hidup.
Jadi cara hidup siapa perlu kita ikut?
Cara hidup nabi. Iaitu sunnah nabi.
Apa yang perlu kita ikut dalam sunnah nabi?
Semua perkara! Apa sahaja yang Rasulullah buat dalam kehidupan baginda sebagai seorang manusia, sedaya upaya kita cubalah untuk ikut.
Mudah je nak amalkan sunnah..sunnah ni tak pernah susah, manusia sahaja yang mempotretkan ia sebagai satu cara hidup yang leceh.
Apa sahaja yang nabi buat seperti masuk keluar tandas, tidur dan jaga, berpakaian, makan dan minum, naik turun kenderaan, keluar masuk rumah, beramal ibadat, berkerja dan berniaga, bergurau senda, bersahabat, berkeluarga, mendidik zuriat, belajar dan mengajar, apa sahaja yang dilakukan oleh seorang manusia, kita ikutlah!
Nabi kan ada ajar doa-doanya, cara-cara dan tertibnya. Kalau kita renungkan balik, bukan sahaja mudah. Malah menguntungkan kita!
Cuba bayangkan, dari awal pagi kita bangun tidur sampailah kita nak tidur balik malam nanti kita selitkan dengan sunnah, mesti banyak sangat pahala kita. Semakin mudah urusan kita. Manfaat dan hikmah kehebatan sunnah yang kita buat semua itu pun akan dirasai dalam diri kita sendiri!
Apa bezanya dengan orang yang tak buat sunnah?
Orang yang buat sunnah nabi akan dapat kejayaan. Orang yang tak buat sunnah tak dapat apa apa. Rugi.
Kejayaan?
Ya! Kejayaan..kerana pernah Nabi SAW bersabda :”Barangsiapa yang menghidupkan sunnah aku, sesungguhnya dia mencintai aku. Dan barangsiapa yang mencintai aku, akan bersama sama dengan aku di dalam syurga.”
Allah SWT berfirman didalam surah Al Hadid ayat ke 12 : “(Ingatlah) ketika engkau melihat (pada hari kiamat): Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, cahaya (iman dan amal soleh) mereka bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka. Berita yang menggembirakan kamu pada hari ini, (kamu akan beroleh) syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, kekal kamu di dalamnya; yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.”
Dapat syurga adalah tanda kejayaan dan kemenangan yang paling besar!
Semua orang mahu berjaya bukan?
Okay, apa untung yang kita dapat bila amalkan sunnah nabi?
Apa kelebihannya?
Banyak sangat kelebihan untuk orang yang amalkan sunnah. Diantaranya:
وَ مَنْ يُّطِعِ اللهَ وَ الـرَّسُوْلَ فَاُولـئِكَ مَعَ الَّذِيـْنَ اَنـْعَمَ اللهُ عَلَـيْهِمْ مِّنَ النَّبِـيّنَ وَ الصِّدِّيـْقِـيْنَ وَ الشُّهَدَاءِ وَ الصّلِحِيْنَ وَ حَسُنَ اُولـئِكَ رَفِـيْقًا
Dan barangsiapa yang mentaati Allah dan Rasul(Nya) mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang dianugerahi nikmat oleh Allah, iaitu : Nabi-nabi, para siddiqin, orang-orang yang mati syahid dan orang-orang soleh. Dan mereka itulah teman yang sebaik-baiknya.
[An-Nisaa’ : 69]
مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
“Barangsiapa membuat amal yang baik, maka baginya (pahala) sepuluh kali ganda amalannya…”
[Al An’am : 160]
عَنْ اَبِى هُرَيـْرَةَ رض اَنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: كُلُّ اُمـَّتِى يَدْخُلُـوْنَ اْلجَـنَّةَ اِلاَّ مَنْ اَبـَى. قَالُـوْا يـَا رَسُوْلَ اللهِ وَ مَنْ يَـأْبـَى؟ قَالَ: مَنْ اَطَاعَنِى دَخَلَ اْلجَـنَّةَ وَ مَنْ عَصَانِى فَـقَدْ اَبـَى.
Dari Abu Hurairah RA, ia berkata : Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : “Semua umatku akan memasuki syurga, kecuali mereka yang enggan”. Para sahabat bertanya : “Ya Rasulullah siapakah mereka yang enggan itu?”. Baginda SAW bersabda : “Barangsiapa yang taat kepadaku, ia akan masuk syurga dan barangsiapa yang mengingkari aku, sungguh dialah yang enggan”.
[HR. Bukhari]
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA telah bersabda Nabi SAW : “Barangsiapa yang menghidupkan sunnah aku di zaman kerosakan umatku, maka baginya seratus pahala syahid.”
Ada ke perintah dan galakan untuk amalkan sunnah?
Ada. Allah SWT berfirman :
يـاَ يُّـهَا الَّذِيـْنَ امَنُوْآ اَطِيْعُوا اللهَ وَ اَطِيْعُوا الـرَّسُوْلَ وَ اُوليِ اْلاَمْرِ مِنْكُمْ، فَاِنْ تَـنَازَعْتُمْ فِيْ شَيْءٍ فَرُدُّوْهُ اِلىَ اللهِ وَ الـرَّسُوْلِ اِنْ كُـنْتُمْ تُـؤْمـِنُـْونَ بِاللهِ وَ اْلـيَوْمِ الاخِرِ، ذلِكَ خَيْرٌ وَّ اَحْسَنُ تَـأْوِيـْلاً
Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri diantara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Qur’an) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. [An-Nisa’ : 59]
لَـقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّـمَنْ كَانَ يَـرْجُوا اللهَ وَ الْيَوْمَ اْلاخِرَ وَ ذَكَـرَ اللهَ كَــثِـيْرًا.
Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri tauladan yang baik bagimu (iaitu) bagi siapa yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.
[Al-Ahzab : 21]
Dari Kathir bin Abdullah dari ayahnya dari datuknya RA, ia berkata : Rasulullah SAW pernah bersabda : “Aku telah meninggalkan pada kamu semua dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepadanya, iaitu : kitab Allah dan sunnah nabi-Nya”.
[HR. Ibnu Abdil Barr]
Untuk apa kita amalkan sunnah?
Sabagai tanda cinta kepada Baginda!
Ramai yang mendakwa sayang dan cinta pada Rasulullah. Tapi tak ramai yang amalkan sunnah baginda. Malah lebih teruk ada yang kata sunnah itu kolot.
Seseorang yang dilamun cinta pasti akan mengikuti mirip dan mahu sama dengan kekasihnya bukan? Jadi kalau kita sayangkan Rasulullah, tunjukkan ia dengan mengamalkan sunnah baginda!
Sila tuliskan komen anda di bawah dan share artikel ini.
Semoga semua orang faham dan amalkan sunnah!
من دَلَّ على خيرٍ فله مثلُ أجرِ فاعلِه
“Barangsiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapatkan pahala seperti pahala orang yang mengerjakannya” [HR. Muslim]
2 comments
Abdullah
Ma shaa Allah, benar2.. Jom amalkan sunnah 24 jam setiap hari bermula dari bangun tidur sehingga kita tidur semula.
Raudhah RoslaniAuthor
insyaAllah…sama-sama kita usaha ya tuan. semoga Allah berikan kita semua taufiq dan hidayahNya untuk kita istiqamah dalam beramal.