ADAB BERTAMU KE RUMAH ORANG
Kisah ni terjadi minggu lepas. Masa tu adik saya berdua dengan anaknya di rumah. Di waktu tengah hari yang terik, tiba-tiba kedengaran suara seorang lelaki memberi salam. Disebabkan ingin menjaga aurat dan kami pula berpurdah, jadi salamnya hanya disahut dari dalam, rupanya dia merupakan seorang seller. Nak jual penapis air. Apa pun perbualan tetap diteruskan untuk memuliakan kedatangannya sebagai tetamu, tetapi disebalik grill yang berkunci dan langsir yang ditarik rapi. Selepas perlawaannya ditolak dengan baik, adik saya pun beransur masuk ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar dari bilik dan mendapati langsir ruang tamu telah di selak luas dan kepit yang digunakan untuk mengepit hujung langsir dah terjatuh. Seolah-olah disentap. Mungkin seller tadi hairan kut dan nak cari dari mana datangnya suara tuan rumah tadi? haha..
Apapun saja nak ingatkan, tak kisahlah apa saja keadaan rumah orang, kita sebagai orang yang bertandang perlu ingat untuk beradab.
APA ADAB-ADABNYA?
1) Bagi salam.
Biasakan diri untuk memberi salam walaupun sudah rapat dengan tuan rumah. Bukan dengan memanggil namanya. Salam itu saling mendoakan kesejahteraan, kan?
2) Ketuk pintu atau tekan loceng.
Jika salam kita tidak disahut, bolehlah mengetuk pintu atau menekan loceng. Tetapi janganlah terlalu kuat atau berlebihan sehingga mengganggu.
3) Jangan intai ke dalam.
Nabi SAW bersabda “(Janganlah kamu berdiri dihadapan pintu) sebaliknya berdirilah di kanan atau di kiri pintu (kerana berdiri di hadapan pintu akan menyebabkan kamu ternampak apa-apa yang ada di dalam rumah, sedangkan) meminta izin adalah semata-mata untuk mengelakkan daripada terlihat apa-apa yang tidak elok dalam rumah.
(Abu Daud)
4) Bertamu dengan niat untuk menziarahi.
Abu Hurairah RA berkata Nabi SAW bersabda “Ada seorang lelaki menziarahi seorang saudaranya di suatu desa lain, kemudian Allah memerintah seorang malaikat untuk melindunginya di sepanjang jalan yang dilaluinya. Setelah orang itu melalui jalan itu, berkatalah malaikat kepadanya “Ke mana engkau mahu pergi?” Orang itu menjawab “Saya hendak ke tempat seorang saudaraku di desa ini.” Malaikat bertanya lagi “Adakah suatu nikmat yang hendak kau peroleh dari saudaramu itu?” Ia menjawab “Tidak, saya mencintainya kerana Allah.” Malaikat lalu berkata “Sesungguhnya saya ini adalah utusan Allah untuk memberitahumu bahawa sesungguhnya Allah itu mencintaimu sebagaimana engkau mencintai saudaramu itu kerana Allah.” (Muslim)
5) Jangan melilau pandang kesana sini. Tundukkan pandangan.
Jaga mata apabila berada di dalam rumah orang. Jika tidak, dikhuatiri akan menimbulkan rasa tidak selesa kepada tuan rumah.
6) Janganlah bertandang terlalu lama sehingga mengganggu tuan rumah.
Cukuplah sekadar bertanya khabar dan saling mendoakan. Kebanyakkan orang tidak mengambil berat tentang perkara ini, bertandang terlalu lama sehingga menyusahkan tuan rumah.
7) Jaga barang tuan rumah. Terutama bagi siapa yang ada anak kecil.
Sepertimana kita tidak suka orang menyentuh atau merosakkan barang kita, begitulah juga dengan orang lain. Awasi anak-anak ketika bertandang. Pesan pada mereka lebih awal untuk menjaga tingkah laku di rumah orang.
8) Jangan menyusahkan tuan rumah.
Hormati dan raikan apa saja yang dihidangkan tuan rumah. Jangan meminta atau mengeluh.
Atau mintalah dengan baik sekiranya terdesak seperti ingin menumpang tandas, membasuh tangan atau lain-lain.
klik sini untuk dapatkan resepi Thai Seafood Spaghetti!
9) Tidak membuka atau menceritakan aib tuan rumah kepada orang lain.
Tundukkan pandangan selama kita berada di dalam rumah orang supaya tidak terlihat kelemahan atau aibnya.
10) Berterima kasih kepada tuan rumah.
Ucapkanlah terima kasih kepada tuan rumah sebelum pulang kerana mereka telah sudi melayan kita sebagai tetamu mereka. Berbudi bahasa dengan menjemput mereka untuk menjadi tetamu kita pula.
Kongsikan pendapat anda di ruang komen di bawah!
Leave a reply
You must be logged in to post a comment.