Pernah ke kenduri? Atau mungkin anda pernah membuat kenduri?
Semua mesti pernah ke kenduri kan? atau open house, party atau apa-apa jamuan yang bila dapat jemputan saja kita sudah merasa gembira sebab MAKAN FREE! apatah lagi di hari jamuan tersebut! kita akan melihat kebiasaan kenduri kendara akan penuh dengan lauk pauk, pilihan makanan berat dan ringan, pencuci mulut, minuman dan kuih muih. makanlah apa sahaja, tambah lagi dan buat macam rumah sendiri kata yang biasa diucapkan oleh tuan rumah.
Tapi sayangnya kebanyakan orang kita cepat terliur dan terus menyerbu ke arah makanan tanpa memikirkan adab dan hak yang perlu dijaga!
Minggu lepas saya dan sahabat mendapat jemputan ke majlis perkahwinan kenalan, setibanya di sana kami terus berjumpa dengan tuan rumah. Macam biasalah, tuan rumah jemput makan. Perut sudah berbunyi, saya terus menuju ke arah meja buffet. Makanan enak dan masih panas tersusun rapi minta dicedok. Selepas mengambil makanan dan minuman kami mencari tempat duduk. Pusing punya pusing, panjangkan leher menjenguk tempat kosong di nun sana ternampak sekumpulan manusia yang sakan berbual diselangi riuh ketawa bak gempita! Meja meraka bukan penuh dengan orang yang sedang menjamu selera, tetapi penuh dengan orang yang merokok!
Alahai, kesian pada tuan rumah. Serba salah mahu menegur. Di pintu masuk masih ramai lagi tetamu yang berpusu-pusu datang.
Jadi, di musim cuti ni, pasti ramai yang membuat kenduri dan yang mendapat jemputan ke majlis keramaian kan? Jom kita baca adab dan etika ketika berada di kenduri yang kita perlu jaga:
1. AMBIL MAKANAN SEKADAR YANG PERLU.
Masa ambil makanan, jangan ikutkan nafsu. Ambil sikit dulu ikut keperluan, jika tidak cukup kemudian boleh tambah. Begitu juga dengan kuih muih atau pencuci mulut. Ambillah apa yang akan dimakan, bukan sebagai hiasan.
2. MAKAN DENGAN TERTIB.
Makanlah dengan sopan. Amalkanlah adab ketika makan seperti membaca doa, makan dalam keadaan duduk, menggunakan tangan kanan, tidak banyak bercakap ataupun gelojoh.
(Klik sini untuk artikel mulianya anggota kanan.)
3. JANGAN MEMBAZIR.
Habiskan makanan yang diambil. Kerana sikap tamak sesetengah orang, banyak makanan yang masih elok dibuang bahkan ada yang masih belum disentuh! Jauhi sikap tamak dan membazir. Kasihani tuan rumah, mereka telah mengeluarkan belanja untuk menjamu kita, tetapi kita pula membazir kerana ia diberi secara percuma. Begitu juga dengan minuman dan kertas tisu.
Allah SWT berfirman di dalam surah Al Isra ayat ke 27 :
إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا
Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara syaitan, dan adalah syaitan mereka kufur kepada tuhan mereka.
4. JANGAN MENYUSAHKAN ORANG LAIN.
Jika sudah habis menjamu selera, eloklah bangun dan berganjak ke tempat lain. Kebiasaannya tuan rumah akan menyediakan tempat khusus untuk sahabat handai dan sanak saudara bertanya khabar dan ‘melepak’. Berikan tempat duduk kita kepada mereka yang baru sampai. Ramai orang tidak mengambil endah tentang perkara ini. Wah wah..sudah selesai makan tetapi disambung dengan berbual, bergurau senda, sibuk dengan smartphone hinggakan ramai tetamu yang terpusing-pusing mencari tempat duduk. Jangan sampai ada tetamu lain bawa tikar ke kenduri pula ya!
5. JAGA SENSITIVITI DAN KESELESAAN BERSAMA.
Sebagai orang islam dan rakyat malaysia yang terkenal dengan budi bahasa adalah budaya kita, maka jagalah akhlaq dan tatasusila. Bercakap dengan baik dan lembut, saling bertanya khabar, bermanis muka dan sebarkan salam. Janganlah bermasam muka saja, atau sibuk dengan gadget hinggakan orang lain menegur pun kita buat tak endah. Ini adalah masa untuk saling menukar khabar. Jangan buat perkara yang akan menimbulkan ketidak selesaan pada tetamu lain seperti merokok, karaoke, berborak terlalu kuat hingga mengganggu, membuang sampah merata-rata dan seumpamanya. Berbaiklah dengan sesiapa sahaja. Dari tuan rumah hinggalah ke pelayan yang bertugas.
Ceritakan pengalaman anda berkenaan kenduri di ruang komen di bawah!
Add comment
You must be logged in to post a comment.