Kedatangan Lailatul Qadar adalah sangat ditunggu – tunggu oleh umat Islam sejak dari zaman nabi Muhammad SAW. Sepertimana Allah SWT telah berfirman dalam AlQuran didalam Surah Al-Qadr telah menceritakan bahawa malam tersebut mempunyai banyak kelebihan dan ganjaran bagi mereka yang mencari dan bermunajat pada malam itu.
Apa itu Lailatul Qadar?
Antara malam-malam Ramadhan, terdapat satu malam yang dinamakan Lailatul Qadar. Malam yang sangat diberkati dan merupakan malam kebaikan.
Didalam Surah Al-Qadr telah diberitahu bahawa Lailatul Qadar adalah lebih afdhal dari seribu bulan. Seribu bulan adalah bersamaan dengan lapan puluh tiga tahun dan empat bulan (83 tahun, 4 bulan). Sungguh bertuahlah orang yang mendapat taufiq untuk beribadat pada malam itu kerana seolah-olah dia telah menghabiskan masa dalam lapan puluh tiga tahun dan empat bulan lebih hanya untuk beribadat sahaja.. MasyaaAllah..
Dalam kitab Addurr Ul-Manthur terdapat satu hadith yang diriwayatkan oleh Hadrat Anas RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda “Lailatul Qadar hanya diberikan oleh Allah kepada umatku sahaja.”
Dalam kitab Sunan Baihaqi diterangkan, Saidina Anas RA telah meriwayatkan sepotong hadith bahawa “pada malam Lailatul Qadar, Hadrat Jibrail AS akan turun bersama satu kumpulan malaikat dan mereka akan mendoakan rahmat bagi sesiapa sahaja yang dilihat sedang sibuk berzikir dan melakukan ibadah-ibadah yang lain”.
Ditulis juga dalam kitab Mazahirul Haq, bahawa pada malam itulah para malaikat diciptakan, unsur-unsur kejadian nabi Adam mula dihimpunkan, dan pada malam itu jugalah pokok-pokok mula ditanam didalam syurga. Terdapat banyak riwayat mengatakan bahawa doa-doa dan amalan-amalan akan dikabulkan.
7 HADITH BERKENAAN LAILATUL QADAR :
1) Carilah Lailatul Qadar di 10 akhir Ramadhan.
Sayyidatina ‘Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda “carilah Lailtul Qadar pada bilangan hari yang ganjil daripada sepuluh malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan. (Misykat)
2) Tanda-tanda Lailatul Qadar
Saidina Ubadah bin Somit RA telah bertanya kepada nabi SAW tentang Lailatul Qadar. Baginda SAW bersabda “Lailatul Qadar berlaku pada bulan Ramadhan pada sepuluh malam yang akhir. Sesungguhnya Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam yang ganjil, pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 ataupun pada malam terakhir daripada bulan Ramadhan. Sesiapa yang bangun beribadat pada malam-malam itu dengan iman dan harapan untuk mendapat ganjaran, semua dosanya yang terdahulu akan diampunkan. Antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah keadaan terang dengan langit yang bersih, tenang lagi sunyi, tidaklah terlalu panas, dan tidak pula terlalu sejuk. Seolah-olah bulan sedang memancar (kerana banyak nur kerohanian). Bintang-bintang tidak digunakan untuk melontar syaitan pada malam itu sehingga ke pagi. Antara tanda-tandanya lagi ialah sesungguhnya matahari akan terbit keesokkan paginya tanpa cahaya yang bersinar kuat. Matahari akan terbit dalam satu bulantan yang rata seperti bulan purnama. Allah SWT telah mengharamkan syaitan keluar bersama matahari pada hari itu (sebaliknya pada hari-hari yang lain syaitan akan muncul ditempat matahari terbit). (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi)
3) Jibril turun bersama para malaikat
Sayyidina Anas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda “Apabila tiba Lailatul Qadar, turunlah Jibrail AS bersama satu kumpalan para malaikat memohon rahmat ke atas setiap hamba Allah SWT yang sedang berdiri atau duduk mengingati Allah SWT dan apabila tiba hari Raya Aidilfitri, Allah SWT akan membangga-banggakan mereka kepada para malaikatNya. Dia akan berfirman “Wahai Malaikat-Ku! Apakah balasan seorang pekerja yang telah menyempurnakan kerjanya?” Mereka akan berkata “Wahai tuhanku, balasannya ialah upahnya diberikan dengan sempurna”. Allah SWT berkata lagi “Wahai malaikat-Ku! Hamba-hamba-Ku lelaki dan perempuan yang telah menyempurnakan perintah-Ku keatas mereka, kemudian mereka keluar sambil melaungkan doa, maka demi kemuliaan dan kehebatan-Ku, kemurahan dan ketinggian-Ku dan demi kedudukan-Ku pasti Aku menerima doa-doa mereka”.
Kemudian Allah SWT berfirman “Pulanglah kamu, sesungguhnya Aku telah mengampunkan kamu dan telah Aku tukarkan segala keburukan kamu kepada kebaikan.” Nabi SAW bersabda “Lalu mereka pun pulang dalam keadaan telah diampuni.” (Hadith riwayat Baihaqi)
4) Doa jika mendapati Lailatul Qadar
Sayyidatina Aisyah RA meriwayatkan bahawa beliau telah berkata kepada Nabi SAW “Ya Rasulullah SAW, Beritahulah kepada saya sekiranya saya tau malam manakah Lailatul Qadar, apakah doa yang sepatutnya saya pohon pada malam itu?” Baginda SAW bersabda “Katakanlah :
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فَاْعْفُ عَنِّي
Ya Allah sesungguhnya Engkaulah Maha Pengampun dan Engkau sukakan pengampunan maka ampunilah daku
(Hadith riwayat Ahmad, Ibn Majah dan Tirmizi)
5) Beribadat pada Lailatu Qadar, dosa akan diampunkan
Sayyidina Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesiapa yang berdiri beribadat pada malam Lailatul Qadar dengan iman dan ihtisab (mengharapkan ganjaran) akan diampunkan dosanya yang terdahulu” (Hadith riwayat Bukhari dan Muslim)
6) Terlepas Lailatul Qadar adalah kerugian yang besar
Saidina Anas RA berkata “Telah masuk bulan Ramadhan lalu Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya bulan ini telah datang kepada kamu. Dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang telepas daripadanya maka dia telah terlepas dari segala kebaikan dan tidaklah terlepas daripada kebaikannya kecuali dia yang benar-benar rugi”. (Hadith riwayat Ibn Majah)
7) Perbalahan menyebabkan penetapan Lailatul Qadar diangkat
Sayyidina Ubadah bin Somit RA berkata bahawa Rasulullah SAW keluar (dari rumah baginda) untuk memberitahu kami tentang Lailatul Qadar. Ketika itu ada dua orang lelaki dari orang islam sedang bergaduh. Maka Baginda SAW bersabda “Aku telah keluar untuk memberitahu kami tentang Lailatul Qadar, tetapi si fulan dan si fulan sedang bergaduh, oleh itu penentuan Lailatul Qadar telah diangkat. Mudah-mudahan itu lebih baik bagi kamu. Maka carilah Lailatul Qadar pada malam ke 9. Ke 7 dan ke 5” (Misykat)
Maka sama-samalah kita berazam untuk bangun dan beribadat pada malam yang penuh barakah ini. Sebenarnya seorang insan yang penuh dengan dosa dan malas beramal seperti diri kita adalah sangat berhajat pada malam tersebut bagi menambahkan pahala yang tidak seberapa. Apalah susahnya untuk berjaga malam selama sebulan demi untuk mendapat ganjaran beribadat selama lapan puluh tahun?
Sebenarnya semangat kesungguhanlah yang tidak ada lagi dalam hati. Seandainya sudah dirasai sedikit sahaja daripada kelazatannya, bukan lagi semalaman, malah beratus-ratus malam pun seseorang itu sanggup berjaga.
Leave a reply
You must be logged in to post a comment.