Ramadhan adalah bulan yang suci bagi umat islam. Ia adalah bulan kesabaran, bulan simpati, bulan keampunan, bulan rahmat dan bulan keberkatan. Semua umat islam diwajibkan untuk berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Makna puasa dari segi bahasa adalah menahan diri daripada sesuatu. Dari segi syarak pula ia bermaksud menahan diri dari makan, minum, dan segala yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar (masuk waktu subuh) hingga tenggelam matahari (masuk waktu maghrib).
ASAL NAMA RAMADHAN:
Puasa Ramadhan telah diwajibkan pada tahun ke-2 hijrah pada bulan Syaaban. Rasulullah SAW telah berpuasa sebanyak 9 Ramadhan (Baginda wafat pada tahun 11H). iaitu lapan bulan sebanyak 29 hari dan 1 bulan genap 30 hari.
Ketika orang arab dahulu hendak meletakkan nama bulan, bulan Ramadhan bertepatan dengan musim panas. Sebab itulah dinamakan dengan “Ramadhan” yang bermaksud “panas terik matahari”. Ada juga mengatakan dinamakan “Ramadhan” kerana bulan ini mampu membakar dosa-dosa yang telah dilakukan.
Semua orang Islam maklum bahawa bulan Ramadhan adalah antara bulan yang mulia didalam Islam. Pendek kata, ramai yang berazam untuk melakukan perkara-perkara yang baik dan menambah amalan masing-masing sepanjang bulan Ramadhan.
Banyak kelebihan yang Allah Taala akan berikan untuk hambaNya yang menempuhi bulan Ramadhan. Bulan Ramadhan juga adalah bulan yang berkait rapat dengan Kalamullah. Ia adalah bulan yang diturunkan semua kitab-kitab Allah. Alquran diturunkan keseluruhannya dari Lauh Mahfuz ke langit dunia dan kemudian diturunkan sedikit demi sedikit ke dunia bersesuaian dengan peristiwa yang berlaku dalam tempoh 30 tahun.
Suhuf (lembaran-lembaran) nabi Ibrahim diturunkan pada 1 atau 3 Ramadhan.
Kitab Zabur nabi Daud AS diturunkan pada 12 atau 18 Ramadhan.
Kitab Taurat nabi Musa AS diturunkan pada 6 Ramadhan.
Kitab Injil nabi Isa AS diturunkan pada 12 atau 13 Ramadhan.
Nabi SAW bersabda yang mafhumnya : barangsiapa yang memberi makan pada orang yang lapar, memberi pakaian pada orang yang telanjang dan memberi tempat bermalam bagi orang yang bermusafir maka Allah SWT akan melindunginya daripada huru hara pada hari kiamat.
Baginda bersabda lagi tentang kelebihan mereka yang memberi makan pada orang yang berbuka puasa : Sesiapa yang memberi makan untuk orang yang berbuka puasa Ramadhan dari sumber rezeki yang halal, maka para malaikat akan menghantar padanya rahmat pada malam-malam Ramadhan. Pada malam Lailatul Qadar pula Hadrat Jibrail akan datang bersalam dengannya. Tanda orang yang disalami dengan Jibrail adalah hatinya akan menjadi sayu dan air matanya akan mengalir.
Ketahuilah bahawa dengan kedatangan bulan Ramadhan, sebenarnya ia adalah rezeki yang melimpah ruah untuk kita! Pada mata kasar ramai yang faham bahawa rezeki adalah duit, atau makanan, tempat tinggal, pakaian dan seumpamanya kan?
tetapi rezeki yang dimaksudkan adalah rezeki yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar, tetapi boleh dilihat dengan mata hati. Jadi di sini kami senaraikan rezeki-rezeki yang istimewa yang hanya didapati pada bulan Ramadhan:
1) REZEKI KUMPUL PAHALA :
Bulan Ramadhan adalah bulan yang kita perlu bertungkus lumus untuk membuat sebanyak-banyak amalan dan mengumpul pahala sebanyak yang boleh. setiap pahala amalan sunat yg dilakukan dalam bulan Ramadhan adalah bersamaan dengan pahala satu amalan fardhu. Dan setiap amalan fardhu yang dilakukan, adalah bersamaan dengan 70 pahala amalan fardhu yang dilakukan di bulan-bulan yang lain! MasyaAllah, sungguh bertuah mereka yang memperbanyakkan amalan dalam bulan Ramadhan ni kan?
2) REZEKI MENYIHATKAN BADAN
Dengan berpuasa ia terbukti boleh mencegah kanser, mencegah penyakit lupa, baik untuk otak dan jantung, menurunkan berat badan, mencuci kotoran dalam usus dan salur darah, memberikan badan kita metabolisma yang tinggi! MasyaAllah!
3) REZEKI BERJIMAT CERMAT
Ketika menjalani ibadah puasa, kita perlu untuk mendidik diri kita supaya berjimat cermat memandangkan waktu untuk juadah adalah sahur dan iftar sahaja. Semua orang hendaklah mengamalkan hidup berjimat cermat dan tidak membazir. Seperti firman Allah SWT yang bermaksud : orang yang membazir adalah saudara syaitan.
4) REZEKI TAQARRUB ILA ALLAH (MENDEKATKAN DIRI KEPADA ALLAH)
di bulan Ramadhan, semua orang akan bangun bersahur sebelum masuknya waktu subuh. Jadi dengan kesempatan ini, kita mendapat peluang untuk beramal ketika waktu sahur seperti Tahajjud, solat taubat dan berdoa. Terutama bagi mereka yang agak sukar untuk bangun Tahajjud di bulan-bulan yang lain. Waktu sahur adalah waktu hening yang nyaman lagi tenang. Jadi dengan beramal pada waktu sahur kita akan lebih mudah untuk khusyu’ dalam amalan yang dilakukan.
di dalam bulan Ramadhan juga kita diberikan kelebihan dan kesempatan untuk menunaikan solat Taraweeh. Jadi sebenarnya Taraweeh juga rezeki yang Allah SWT telah kurniakan untuk memuliakan umat Muhammad SAW. Rebutlah dan tunaikanlah Taraweeh sebaik mungkin, kerana ia hadir hanya sekali dalam setahun.
5) REZEKI LAILATUL QADAR DAN I’TIKAF
Subhanallah walhamdulillah walailahaillallah Allahuakbar.. Siapa yang tidak rindukan Lailatul Qadar yang hadir di 10 malam terakhir Ramadhan? Kita semua inginkan untuk bertemu dengan malam yang mulia tersebut, bukan? Lailatul Qadar ialah malam yang lebih baik dari seribu bulan! Subhanallah..sungguh beruntung bagi mereka yang dipilih oleh Allah untuk bertemu dengan Lailatul Qadar. Jadi, sepanjang kita malalui bulan Ramadhan, berdoalah dan berusahalah untuk mencari malam yang sarat dengan kelebihan itu! Kerana rezeki untuk berjumpa malam tersebut hanya di bulan Ramadhan yang datang hanya sekali dalam setahun. Banyak kelebihan dan kisah mengenai Lailatul Qadar sebenarnya. insyaAllah ia akan diterangkan pada entry akan datang.
Add comment
You must be logged in to post a comment.