PENTING KE MADRASAH TU?
PENJELASAN DAN KELEBIHAN KEPENTINGAN MADRASAH :
Nabi Muhammad SAW bersabda :
“Barangsiapa yang melalui satu jalan untuk mencari ilmu, maka Allah akan mudahkan baginya jalan ke Syurga.”
Imam Waqi’ RAH telah memberikan sepotong nasihat ketika mana Imam Syafie telah mengadu kepada beliau akan lemah hafalannya. Nasihat beliau :
“Tinggalkan membuat maksiat, kerana ilmu adalah cahaya (Allah). Dan cahaya Allah tidak akan diberikan kepada orang yang membuat maksiat”
APA ITU MADRASAH?
Tujuan utama madrasah adalah untuk melahirkan seorang hafiz, alim dan daie yang boleh menarik tangan umat akhir zaman kepada suasana agama seperti suasana yang wujud ketika hayat Baginda SAW.
Ia adalah tempat pengajian Islam dijalankan supaya pelajar boleh memahami isi Alquran dan Hadith-hadith sekaligus untuk diamalkan dan disampaikan kepada seluruh umat.
Pelajar juga akan ditarbiyah dengan kepentingan amal, yakin hanya kepada Allah, adab, khidmat dan bersatu hati supaya pelajar akan menjadi seorang yang berilmu, beramal, soleh, berakhlaq baik, merendah diri dan sahsiahnya terpuji.
PELAJARAN DI MADRASAH?
Pelajaran di madrasah ada dua aliran.
1) Hafiz
2) ‘Alim
Aliran hafiz ni menghafal Al quran. Dalam masa yang sama juga mereka akan belajar Ilmu tajwid dan Fardhu Ain. Bagi pelajar tahfiz, mereka mempunyai target untuk menghafal kesemua 30 juzu’ Al quran dalam beberapa tahun. Kebiasaannya dalam tempoh 2 ke 3 tahun sahaja. Selepas khatam menghafal 30 juzu’, mereka digalakkan untuk membuat Syahadah (kepakaran hafalan Al quran).
Bagi aliran Alim pula, ia mempelajari ilmu-ilmu agama menggunakan kitab turath secara bertalaqqi dan bersanad. Ia bermula dari pelajaran asas seperti Nahu, Sorof, Bahasa Arab, Tauhid, Feqah dan Tajwid. maka selepas pelajar dapat menguasai subjek asas, baru lah mereka akan ke peringkat seterusnya yang lebih tinggi seperti ilmu feqah, Tasawwuf (pembersihan hati), Tafsir Alquran, Mantiq, Balaghah dan Faraid.
Pada peringkat yang tertinggi dan terakhir, pelajar akan menduduki kelas Usul Hadith, Usul Fiqh, Tafsir Jalalain dan kelas dauratul hadith, Hadith 6 iaitu Sohih AlBukhari, Sohih Muslim, Sunan AtTirmizi, Abu Daud, Nasa’i dan Ibn Majah.
Pembelajaran dilakukan dalam dua cara:
1) Dirayatan : syarahan hadith mengikut qawaidul fiqhiyyah imam-imam mazhab serta tarjih kepada Mazhab Syafi’e.
2) Riwayatan : secara bersanad iaitu rantaian nama-nama guru dan perawi sehinggalah kepada pengarang kitab ulama’-ulama’ yang muktabar (Imam Bukhari, Imam Tirmizi, Imam Muslim dan lain-lain) seterusnya sanad sampai kepada Rasulullah SAW.
Ramai pelajar yang telah tamat syahadah akan menyambung pelajaran ke aliran ‘Alim pula!
PENTINGKAH MADRASAH?
Rasulullah SAW bersabda : “Barangsiapa yang Allah SWT inginkan kebaikan untuk dirinya, maka Allah SWT akan memberinya kefahaman dalam agama.”
Sayyidina Abu Darda RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda :
“Sesiapa yang berjalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan untuknya jalan ke syurga dan para malaikat akan menghamparkan sayap-sayap mereka kepada pelajar agama kerana suka dengan perbuatan mereka. Penduduk langit dan bumi akan beristighfar untuk mereka yang menuntut ilmu sehinggakan ikan-ikan di air pun turut beristighfar. Kelebihan seorang alim (ahli ilmu) ke atas seorang ‘abid (ahli ibadah) ialah seperti kelebihan bulan ke atas semua bintang. Ulama ialah pewaris para nabi AS. Para nabi AS tidak mewariskan ilmu. Sesiapa yang telah mendapatkan ilmu, sebenarnya dia telah mendapat suatu nikmat yang besar.”
Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, akan tetapi mereka mewariskan ilmu!
Jadi sesiapa yang telah dipilih untuk belajar ilmu agama bermakna mereka telah mendapat warisan peninggalan nabi! MasyaAllah!
Pentingnya madrasah adalah kerana suasana yang wujud disebabkan rahmat, berkat dan sakinah yang dikurniakan oleh Allah. Ilmu dan amalan yang bermanfaat akan menjamin kebahagiaan dan kejayaan seseorang itu samada di dunia mahupun di akhirat. Apabila para pelajar keluar dari madrasah dan membawa suasana madrasah ke tempat lain, maka ia akan menjadi asbab supaya orang lain juga beramal dan mencari ilmu pengetahuan. majlis lalai akan berkurangan, maksiat akan ditinggalkan, agama akan ditinggikan, ilmu akan dimanfaatkan, amalan akan ditambahkan, ibu bapa dan alim ulama akan dihormati, keluarga akan disayangi, malah umat islam akan menjadi seperti para Sahabat dan Sahabiah RA.
Marilah sama-sama kita memperbaiki dan menuntut ilmu supaya diri dan semua zuriat keturunan kita akan menjadi seorang yang soleh lagi muslih.
Sebenarnya ada banyak lagi kelebihan yang Nabi SAW telah sebutkan untuk mereka yang menuntut ilmu agama. Semoga ianya bermanfaat untuk kita istiqamah dalam beramal.
‘BUKANKAH DENGAN MENGINGATI ALLAH HATI AKAN MENJADI TENANG?’
baca artikel mengenai hijrah di –> sini!
komen dibawah dan share artikel ini!
gambar oleh Ustaz Afif Ikram. IG: @afifikram
2 comments on “Apa Tu Madrasah? Penting Sangat Ke?”
Siti hajar
Assalamualaikum boleh saya tahu madrasah mana yang belajar alimah secara bersanad ini? Terima kasih
Raudhah Roslani
waalaikumsalam cik, untuk senarai madrasah alimah boleh hubungi no ini 0132686730