SYARIAT BERPAKAIAN DI DALAM ISLAM
Sejak dahulu kala lagi, kali pertama Allah SWT menciptakan manusia iaitu Hadrat Adam AS, Allah SWT telah mengurniakan kepada baginda pakaian. Sehingga kini semua manusia diilhamkan oleh Allah akal fikiran untuk berpakaian lalu bermacam-macam jenis, warna dan fesyen yang telah diketengahkan mengikut peredaran masa dan zaman. Ada pakaian yang telah ditelan zaman tetapi masih ada juga yang kekal hingga kini. Hari ini kita melihat semua manusia berpakaian malah haiwan pun ada juga yang berpakaian. Tetapi adakah semua manusia yang berpakaian mentaati syariat dalam berpakaian ataupun berpakaian tetapi telanjang?
Tahukah anda bagaimana cara yang membolehkan kita untuk mendapat pahala yang berterusan hanya dengan berpakaian?
CARA 1 : MENUTUP AURAT
Didalam islam terdapat batas dan garisan bagi penganutnya untuk menutup aurat. Bagi lelaki aurat mereka adalah diantara pusat hingga ke lutut dan bagi wanita pula adalah seluruh anggota badan termasuk kaki, kecuali muka dan tangan.
Kini kita difahamkan jika mahu kelihatan cantik dan menarik, kita perlu membuka aurat. Tetapi jika seseorang itu merenung, pasti dia akan mendapati bahawa dengan menutup aurat, seseorang itu akan kelihatan jauh lebih cantik dan sopan.
Maksud menutup aurat bukan sahaja dengan menutup, tetapi hendaklah dipastikan bahawa pakaian yang dikenakan tidaklah ketat, jarang atau singkat.
CARA 2 : BERSEDERHANA DALAM BERPAKAIAN
– Tinggalkan pakaian yang mewah walaupun kita mampu membelinya. Utamakan sikap tawadhu’ (rendah diri).
– Tinggalkan tabiat suka membazir pada pakaian atau membeli pakaian yang tidak diperlukan.
– Mengenakan pakaian sunnah seperti yang diamalkan oleh baginda SAW.
klik sini untuk kelebihan memakai jubah : https://www.aurabusana.com/2017/11/03/sunnah-dan-kelebihan-memakai-jubah/
– Memakai pakaian yang simple, tidak bertabarruj.
CARA 3 : MENINGGALKAN PAKAIAN YANG DIHARAMKAN
Kerana kesempurnaan, keelokkan dan kecantikkan islam, ada beberapa perkara yang perlu kita taati dalam berpakaian.
1) Bagi kaum Adam, adalah dilarang keras dan haram bagi merekea menggunakan pakaian atau perhiasan yang diperbuat dari sutera dan emas. Melainkan terpaksa guna atas sebab-sebab tertentu seperti sakit, panas/sejuk yang keterlaluan, ketiadaan kain lain untuk menutup aurat dan seumpamanya.
2) Lelaki tidak boleh berpakaian menyerupai wanita, begitu juga dengan wanita tidak boleh berpakaian menyerupai lelaki.
3) Tidak memakai pakaian yang dibeli menggunakan hasil atau sumber yang haram.
CARA 4 : MENGAMALKAN ADAB DAN SUNNAH BERPAKAIAN
1) Membaca basmalah.
2) Membaca doa memakai pakaian.
3) Mula pakai dari anggota sebelah kanan.
4) Memakai pakaian yang menutup aurat dan menepati syariat.
5) Pakaian yang dipakai hendaklah bersih dan suci dari sebarang kotoran.
6) Tidak berbangga dengan pakaian yang ada.
7) Menutup aurat.
8) Membuka pakaian dari anggota sebelah kiri dan membaca doa.
9) Tidak membazir pada pakaian dan tidak juga terlalu kedekut.
10) Berpada-pada pada hal yang berkaitan dengan pakaian.
Hendaklah kita sebagai hamba-hamba Allah S.W.T. menjalani seharian kita dalam usaha mencari keredhaanNya. Untuk mendapatkan redha Allah bukan sahaja dengan berdoa dan beribadah. Bahkan kita juga mesti menjaga sumber datangnya makan dan minum, juga pakaian yang kita gunakan. Kerana jika tidak dijaga pemakanan dan pakaian kita yang mungkin datangnya dari sumber yang syubhah atau haram maka doa yang setiap hari kita mohon agar Allah perkenankan itu tidak mungkin diterima.
Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam menceritakan di dalam sabdaan baginda tentang seorang lelaki yang telah menempuh perjalanan jauh, sehingga rambutnya kusut masai dan penuh dengan debu. Orang itu dalam kesusahannya mengangkat tangan ke langit dan berdoa: “Ya Allah, Ya Tuhanku. Ya Allah, Ya Tuhanku.”
Apabila Allah melihatnya, maka didapati makanannya dari sumber yang haram, minumannya dari sumber yang haram, pakaiannya dari sumber yang haram dan dia di hidup dari sumber yang haram, maka bagaimana Allah mahu memperkenankan doanya? (HR Imam Muslim)
Apa pandangan anda? tuliskan di ruang komen dan share artikel ini untuk manfaat bersama!
Add comment
You must be logged in to post a comment.